Sekali lagi Ramadhan melabuhkan tirai
Setelah sebulan memayungi jiwa insan yang mengharapkan keredhaan
Kedatangan Syawal pastinya disambut mesra
Untuk meraikan kemenangan menahan nafsu dan godaan
Kemenangan?
Ah! Layakkah aku untuk meraikan kemenangan ini?
Cukupkah sekadar berpuasa selama sebulan
Dan bersujud setiap malam
Untukku menerima anugerah semulia ini?
Wajarkah aku dikalungkan pingat kemenangan
Pabila siangku hanya merintih mengingati kesedihan diri
Dan tidurku pula dikerumuni oleh dosa-dosa lama yang tidak jemu bertamu?
Apakah ertinya kemenangan
Jika cahaya kedamaian yang dicari masih jauh dari genggaman?
Betapa sukarnya untuk mengecapi kemenangan
Sekiranya jiwa ini masih teguh didiami
Oleh hati yang sentiasa berbolak-balik
Oleh perasaan yang masih dahagakan keduniaan
Oleh kegelapan yang saban waktu menyelubungi diri
Akan terus gagalkah aku di dalam pencarian ini
Tanpa adanya kekuatan diri
Untuk mengemudi bahtera merentasi lautan kehidupan
Mengharungi keganasan ombak yang begitu rakus menggulung mangsa?
Apa benarkah sinar Ramadhan ini
Tidak mampu menembusi hati insan sepertiku
Yang begitu penuh dengan dosa
Tanpa mampu disucikan
Kerana masih wujudnya keinginan yang begitu mendalam
Untuk bertuankan nafsu?
Biar ratusan helai kertas dicoretkan dengan keluhan
Jalan cerita yang sama akan tetap berulang
Ramadhan berlalu berganti Syawal
Keseronokan berpakaian baru
Menikmati juadah yang lazat
Beserta hiburan yang mengasyikkan
Sekelip mata melupakan segala kegusaran
Yang sebelum ini begitu mengusik ketenangan
Wahai hati yang berbolak-balik
Mengapa mudah sekali kau dihanyutkan oleh kealpaan?
Aku mungkin tidak punya kekuatan
Untuk mengawal hati ini sepenuhnya
Namun aku akan tetap memanjatkan doa
Agar dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang
Serta memperoleh kemenangan meraikan Syawal
Salam Aidilfitri 1430
Maaf Zahir dan Batin