Umi..
Umi... kakak mak yang paling sulung. Orangnya sangat lemah-lembut, tidak pernah meninggi suara, apatah lagi hendak marah. Incik kata... arwah atuk menunggu sehingga 10 tahun sebelum Umi dilahirkan. Sebab itu Umi ditatang bagai minyak yang penuh. Tidak dibenarkan buat kerja.
Arwah atuk dan opah meninggal waktu mak masih kecil. Umi yang jaga mak dan adik-adik yang lain. Oh yea, mak anak ke-8. Bayangkan Umi terpaksa menjaga adik-beradik bersama dengan anak-anaknya sendiri. Mak membesar bersama anak-anak saudaranya yang hampir sebaya.
Selain dari arwah Mamak, Umi yang tahu sejarah atuk. Asal-usul atuk. Kami hanya tahu arwah atuk sekeluarga berhijrah dari Medan ke sini sewaktu perang. Pernah juga saya bersama sepupu cuba mengorek rahsia daripada arwah Mamak, tapi tak dapat. Arwah Mamak dah berjanji untuk tidak sekali-kali menceritakan sejarah keluarga kepada anak cucunya.
Waktu Kak Ida kahwin, saya buat souvenir berbentuk kasut yang baru dibelajar daripada mak untuk diberikan pada kawan-kawan MMU yang datang. Kasut-kasut itu saya letakkan di dalam bilik. Sampai waktu hendak diberikan pada kawan-kawan, tiba-tiba beberapa biji kasut tu hilang. Saya mengamuk sakan pada hari tu. Esoknya Incik telefon. Rupanya Umi yang ambil kasut-kasut tu untuk diberikan pada anak-anak arwah Paksu kerana Umi ingat ia merupakan hadiah kepada tetamu. Nasib baik Incik tolong. Incik minta balik kasut-kasut tu dan gantikan dengan bunga telur. Kasihan Umi takut...
Umi pandai masak paprik dan Umi turunkan resipinya pada saya. Pernah ada satu kenduri dulu, Umi masakkan paprik khas untuk saya sebab saya teringin sangat nak makan paprik Umi. Umi juga pandai menjahit. Seragam silat saya yang pertama, Umi yang jahitkan.
Baru-baru ni, Umi kecil hati dengan abah. Umi telefon mak. Abah yang jawab. Umi ingat abah tak bagi Umi cakap dengan mak sebab abah letak telefon. Jenuh Umi fikir apa salah dia sampai abah buat macam tu sekali. Rupanya apa yang Umi tak tahu ialah telefon rumah rosak. Abah panggil mak, tapi bila mak jawab tak dengar apa-apa pun. Dah beberapa hari baru Umi tahu perkara sebenar. Petang tu juga Umi datang rumah jumpa mak. Mak tunjuk telefon baru pada Umi sebagai bukti.
Sebelum saya fly ke New Zealand, Umi datang melawat pada lewat petang. Patutnya saya yang pergi beraya ke rumah Umi, tapi sebab ramai sangat saudara-mara yang datang, kami tak dapat keluar rumah. Umi gagahkan diri datang walau pun Umi dah tak berapa larat. Umi takut nanti tak sempat jumpa. Umi hulur RM10 buat sedekah.
Apa yang Umi takutkan akhirnya jadi kenyataan. 2 hari lepas, Kak Na dan juga Abg Peli text. Umi telah pulang menemui Penciptanya kerana serangan jantung. Umi meninggal di dalam perjalanan ke hospital. Nasib baik Iwan, cucu Umi ada bersama waktu tu, jadi Umi tak meninggal keseorangan.
3 hari yang lepas juga, saya masak paprik ikut resipi Umi. Ada lebih yang saya simpan, dan saya makan pagi-pagi tadi. Teringat pada Umi. Paprik Umi merupakan legacy yang boleh membuatkan saya ingat pada Umi selalu. Semoga roh Umi ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...